Dewan Persidangan Bundestag

Dewan Persidangan ialah tempat perhimpunan terpenting dan terbesar di dalam bangunan Reichstag. Parlimen bersidang pada kebanyakan masa di dalamnya. Di tengah-tengah dewan ini diletakkan tempat berucap pembahas. Di hadapan pembahas duduk ahli-ahli stenograf (selari dengan tugas Kerani Dewan Rakyat Malaysia) manakala di belakangnya duduk presiden parlimen atau wakil-wakilnya dan di sebelah presiden pula ialah pencatat parlimen. Presiden dewan duduk menghadap dewan bersidang. Dari sebelah kanannya dalam bentuk separa bulatan duduklah ahli-ahli FDP, diikuti ke kiri mereka CDU/CSU. Di tengah-tengah pula ialah kumpulan Hijau dan di sebelah kiri bulatan itu ditempatkan anggota-anggota SPD. Walaupun kumpulan Hijau mengamalkan politik sayap kiri sebagaimana SPD, mengikut tradisi dari tahun 1983 tiada kumpulan lain berhak duduk di sebelah kiri SPD. Pembahagian ini kekal sehinggalah selepas penyatuan semula. Sejak dari itu, duduk di bahagian terkiri sekali ialah wakil-wakil dari Parti Kiri, berikutan kemasukan perwakilan dari PDS (yang kini telah bergabung membentuk Parti Kiri). Di atas dewan bersidang itu ialah tempat duduk untuk pengunjung-pengunjung ke Bundestag. Mereka tidak dibenarkan berkelakuan yang boleh mengganggu persidangan atau mereka akan diarahkan keluar meninggalkan bangunan parlimen.

Di sebelah kiri dan di sebelah kanan tempat duduk majlis presiden duduklah masing-masing ahli-ahli kerajaan persekutuan dan wakil-wakil Bundesrat. Kerusi-kerusi lain berdekatan dengan presiden parlimen pula ditempatkan khas untuk canselor dan juga Presiden persekutuan.

Di belakang tempat presiden dewan diletakkan bendera-bendera persekutuan dan Kesatuan Eropah di bawah jata besar Bundestag.

Di belakang tempat duduk kerjaan dan majlis persekutuan dipasang sebuah papan tanda elektronik yang memaparkan undian semasa mesyuarat. Selain itu, tanda besar F akan dinyalakan bagi memberi isyarat bahawa siaran langsung televisyen sedang dijalankan. (Huruf F untuk Fernsehen atau televisyen dalam bahasa Jerman).

Satu keunikan teknikal yang terdapat di dalam Bundestag ialah penggunaan kerusi khas yang lurus di bahagian hadapan tempat duduk ahli-ahli dewan yang boleh digerakkan ke depan atau ke belakang. Kerusi ini yang digunapakai kerana saiz dewan persidangan yang agak sempit turut membolehkan anggota-anggota dewan yang duduk di situ seperti bermain papan jongkang-jongkit.